
Steve Jobs mungkin melakarkan kejayaannya dalam mengemudi Apple Inc. Antara
syarikat pengeluar komputer dan peranti yang terbesar di dunia. Beliau juga adalah antara
manusia terkaya di di dunia. Di sebalik kemasyhuran Steve Jobs, terlakar sejarah yang
menakjubkan. Bermula dengan kelahiran beliau yang tidak dinginkan, lalu diserahkan kepada
keluarga angkat. Steve Jobs dilahirkan pada 24 Februari 1955. Jobs diserahkan kepada
keluarga angkat oleh kerana ibunya, seorang mahasiswi tidak mampu membesarkan Jobs.
Namun, ibu kandung Steve Jobs ingin memastikan Jobs berada di dalam keluarga yang
berlatarbelakangkan intelek. Itu antara syarat yang diletakkan oleh ibu kandung Steve Jobs.
Lalu Jobs diserahkan kepada pasangan Paul dan Clara Jobs. Pada hakikatnya, hasrat ibu
kandung Jobs tidak kesampaian kerana Paul dan Clara bukanlah lulusan universiti. Namun,
ibu dan bapa angkat Jobs memastikan Jobs belajar sehingga ke menara gading.
Di alam persekolahan, Steve Jobs antara murid bermasalah. Gurunya terpaksa
menyediakan gula-gula dan juga wang AS$5 demi untuk memastikan Jobs belajar. Beliau
juga adalah seorang murid yang malas. Bersikap pelik dan nakal sehingga pernah melakukan
satu letupan kecil di dalam kelas Sains. Namun, dalam paksaan, Steve Jobs selesai
persekolahan sehingga peringkat menengah. Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran ke
Reed College iaitu antara kolej yang bagus. Sikap malas Jobs tidak berubah. Jobs gagal
menghabiskan pengajiannya di semester pertama lagi. Dengan menumpang tidur di lantai
bilik rakannya, mengutip botol Coke untuk dijual semula, dan makan percuma di sebuah kuil,
Jobs meneruskan hidup remajanya dengan cara begitu. Titik ubah hidup Jobs bermula selepas
beliau mengikut kelas kaligrafi di kolejnya.
Kemahiran kaligrafi itu yang Jobs gunakan ketika mencipta komputer terkenalnya iaitu
Mcintosh. Sebelum itu, Steve Jobs bekerja dengan sebuah syarikat permainan video, Atari.
Selepas beberapa tahun, Jobs mengambil langkah berani dan bergabung dengan rakannya,
Wozniak dan Ronald Wayne menubuhkan syarikat Apple secara rasmi. Syarikat itu telah
berkembang dengan penciptaan komputer peribadi yang mempunyai kelebihan dari segi
kesempurnaan teknikal perkakasan, warna grafik dan perisian.
Selepas beberapa ketika, Steve Jobs dipecat dari Apple selepas beliau berjaya
membuatkan Mcintosh, komputer Apple diiktiraf dunia. Steve Jobs kemudiannya
menubuhkan syarikat NeXT Computer. Dari sini pula wujud Pixar, sebuah syarikat animasi
yang bergabung dengan Disney. Steve Jobs memgang saham peribadi sebanyak 7%. Selepas
kejayaan Pixar, Jobs kembali bekerja di Apple selepas Apple membeli NeXT Computer.
Berterusanlah Jobs membawa kemayhuran Apple selepas itu sehingga beliau didiagnos
menghidapi kanser penkreas pada 2004. Namun, seperti kata Steve Jobs, KEMATIAN adalah
satu ciptaan paling terbaik di dunia. Ia juga merupakan ejen perubahan dalam hidup,”. Jobs
menghembuskan nafas terakhir pada 5 Oktober 2011.
2.0 LATAR BELAKANG VIDEO / UCAPAN STEVE JOBS YANG DIPILIH
Ucapan Steve Jobs pada 12 Jun 2005 disampaikan di Universiti Stanford semasa
majlis konvokesyen. Ternyata ucapan ini memberi inspirasi kepada para hadirin khususnya
graduan yang diraikan kerana ucapan Steve Jobs menyentuh tentang perjalanan hidupnya
sehinggalah bagaimana berita yang mengundang kematiannya mengubah cara beliau melihat
kehidupan. Ucapan Steve Jobs di Universiti Stanford boleh didapati di sini.
http://www.youtube.com/watch?v=PAs867sz9oE
3.0 ULASAN UCAPAN STEVE JOBS
3.1 Tentang menghubungkan titik-titik
Di dalam ucapan Steve Jobs, beliau menerangkan tentang menghubungkan titik-titik.
Antara ucapan berkenaan dengan itu, “Kita tidak boleh menghubungkan titik-titik dengan
melihat ke depan. Titik-titik itu boleh disambung dengan melihat dari belakang”
Sememangnya, jika kita bermain permainan menyambung titik, kita akan melihat dari mana
titik itu mula bersambung bukan ke mana titik itu akan bersambung. Ini bermaksud, di dalam
kehidupan, sejarah itu wajar untuk dilihat bukan untuk dilupakan. Dengan melihat kembali
sejarah, kita boleh mempelajari kesilapan, mengulangi langkah-langkah yang membawa
kejayaan supaya tidak berlaku tindakan yang sama tetapi mengharapkan hasil yang berbeza.
Perlu untuk kita renungkan apa yang telah kita lalui untuk mencatur masa depan kita. Billi
Lim (2010) ada menulis tentang Tun Daim Zainudin seorang tokoh korporat yang disegani
iaitu kata –kata Tun berkaitan jika beliau gagal, beliau hanya jatuh, namun beliau mengetahui
kemampuan beliau untuk bangkit semula. Ini membuktikan bahawa apabila kita jatuh, bangkit
semula dan belajar daripada kegagalan lalu.
Seterusnya, Steve Jobs menyatakan bahawa kita harus yakin akan titik-titik itu
membawa kepada satu destinasi atau masa hadapan. Saranan Jobs, kita harus ada keyakinan
mahupun keberanian terhadap takdir, kehidupan, karma dan apa saja. Itu semua akan menjadi
semangat untuk kita terus melangkah ke hadapan. Pada Jobs, keyakinan itu tidak pernah
mengecewakan beliau dan menjadi titik perubahan di dalam kehidupannya.
3.2 Tentang cinta
“Sometimes life hits you in the head with a brick” Kadang-kadang, dalam kehidupan
kita bagai dipukul dek batu. Jangan hilang pegangan. Maksudnya, kadang kala dalam
kehidupan, manusia sentiasa akan diuji atau ditimpa musibah, kesusahan. Ketika itu, jika kita
mempunyai pegangan yang kuat, kita tidak akan hilang arah. Bagi orang Islam, pegangan kita
yang nyata adalah iman. Seperti ujian yang menimpa penduduk Pantai Timur, banjir yang
menenggelamkan kampung. Penduduk kehilangan bukan sahaja harta benda malah rumah
yang selama ini menjadi tempat berteduh. Ada juga dalam kalangan mereka yang kehilangan
rumah warisan turun temurun. Tanpa iman, dengan dugaan sebesar ini, mangsa akan
menyalahkan Tuhan. Dengan iman, mereka akan rasa redha akan ketentuan Allah lalu
bertunjangkan redha itu, semangat akan bangkit dan terus memulakan hidup baharu. Menurut
Teori Kewujudan, kita menyedari akan kebebasan semula jadi yang ada pada kita untuk
memilih sikap terhadap situasi yang tertentu dan juga tindakan yang akan kita lakukan.
(Frankl, 1962 dalam Sapora dan Ruhaya ,2010)
Menurut Steve Jobs lagi, apa yang membuatkan beliau terus berusaha melakukan apa
yang beliau lakukan sekarang adalah kecintaannya terhadap apa yang sedang dilakukan.
Saranan Jobs, kita mesti mencari sesuatu yang kita suka, begitu juga jika kita bercinta. Seperti
bercinta, kita akan bercinta dengan orang yang kita suka. Apabila kita suka, walau apa
halangan sekalipun, kita terus akan berpegang kepada apa yang kita cinta. Begitu juga dengan
pekerjaan, jika kita melakukan apa yang kita suka, kesusahan yang datang akan kita cari jalan untuk menempuhinya kerana kita tidak mahu kehilangan apa yang kita sayang. Melakukan
apa yang kita sukai, jika ia menuntut masa yang panjang pun, takkan kita rasa kita membazir
masa kerana kita sedang melakukan apa yang kita suka. Seperti seorang pelukis, akan
menghabiskan masa berjam-jam melukis tanpa menyedari masa yang berlalu. Hasilnya, pasti
mendatangkan kepuasan kerana bekerja akan menjadi sebahagian besar daripada kehidupan
kita. Untuk menjadikan ia sesuatu yang berbaloi dan berjaya, pastikan kerja yang kita lakukan
adalah kerja yang kita suka untuk lakukan. Saranan Jobs lagi, jika kita belum mempunyai
pekerjaan yang kita suka, carilah ia dan jangan rasa selesa. Sekiranya kita menemukannya,
maka seperti sebuah hubungan cinta, ia akan menjadi lebih baik dan semakin baik. Cinta itu
akan membuatkan kita lebih menghargai dan menjagai pekerjaan itu.
3.3 Tentang kematian
Steve Jobs pernah menemui satu rangkap kata iaitu “Jika kita hidup seperti hari ini
adalah hari terakhir, maka hari itu sememangnya akan tiba” dan ungkapan itu meninggalkan
satu kesan kepada Jobs sejak itu sehinggalah 33 tahun kemudiannya. Setiap hari Jobs akan
bertanya, “jika hari ini adalah hari terakhir saya di dunia ini, apakah saya ingin melakukan apa
yang saya lakukan hari ini?”. Jika jawapannya adalah “Tidak” pada hari-hari berikutnya,
maka beliau akan menukar tindakannya. Seperti termaktub di dalam Hadith Riwayat Bukhari
dan Muslim, “Sesungguhnya orang yang paling berjaya ialah orang yang hari ini lebih baik
daripada semalam dan orang yang gagal adalah orang yang hari ini lebih teruk daripada
semalam, manakala orang yang terpedaya adalah orang yang hari ini sama dengan hari
semalam” .Seorang muslim yang berjaya, harus menjadikan hari ini lebih baik daripada
semalam. Maksudnya perlu berusaha dan terus berusaha. Walaupun kita mengetahui bahawa
esok kita akan mati, maka kita harus meninggalkan dunia dengan sesuatu yang baik. Seperti
kata-kata Kardinal John Henry Newman dalam Billi Lim (2010), janganlah takut bahawa
hidupmu akan berakhir, tetapi takutilah bahawa ia tidak akan bermula.
Seperti Steve Jobs, walaupun mengetahui hayatnya akan sampai ke penghujung
disebabkan serangan kanser pankreas, beliau tidak menjadikan itu alasan untuk berhenti
bekerja dan berusaha. Malah, bagi Jobs, kematian menjadi senjata utama ketika membuat
pilihan atau keputusan besar. Di dalam kita membuat keputusan, hampir setiap kali kita akan
membiarkan diri kita dipengaruhi oleh ekspektasi, kebanggaan, takut untuk gagal atau
bimbang malu. Namun, jika kita mengetahui bahawa kita akan mati, semua itu akan kita letak
ke tepi kerana semua perasaan itu tidak lagi penting. Kita akan terus fokus kepada apa yang
telah kita rencanakan. Fokus itu hadir kerana di dalam sistem kepercayaan kita tertanam tiada
apa yang perlu dimalukan kerana kita akan mati, persepsi orang sudah tidak penting lagi.
Terlalu menurut pandangan orang lain akan membuatkan kita terjebak dalam jerangkap samar
yang akan menghalang kita terus maju. Persepsi ibarat tali yang mengikat kaki. Selagi kita
membiarkan kaki kita terikat, kita tidak akan dapat melakukan sebarang perubahan. Takut
kepada kegagalan bukan hanya berpunca daripada kegagalan semata-mata. Ia juga sebenarnya
berpunca daripada bagaimana reaksi masyarakat terhadap mereka yang gagal (Billi Lim,
2010). Keberanian untuk gagal juga adalah elemen penting sehinggakan Steve Jobs
menggariskan itu sebgai sesuatu yang mahu dielakkan.
Tiada insan yang mahukan kematian walaupun kematian itu pasti. Malah, orang yang
mahukan syurga pun tidak mahu mati. Bagaimana syurga menjadi destinasi akhir kita jika
belum dimulai dengan kematian? Menurut Jobs, kematian adalah anugerah terhebat.
Kematian adalah agen perubahan. Bagi Jobs, berita yang beliau bakal mati menjadi satu titik
perubahan dan titik ubah persepsi beliau terhadap kehidupan. Sama seperti kita, jika kita
mengetahui bahawa kita akan mati, pasti kita akan memberikan yang terbaik untuk
ditinggalkan. Kematian itu suatu yang baik kerana ia menjadi satu motivasi kepada kita. Kita
lebih menghargai kehidupan. Kita mampu melihat segalanya dari sudut pandang yang
berbeza. Sudut pandang yang baharu akan membuatkan kita menjadi insan yang baharu. Lalu,
kita sehabis mungkin mencuba sesuatu yang tidak pernah kita cuba. Tidakkah di situ kita telah
menjadi insan yang berbeza lagi baharu? Namun, bagi Steve Jobs ketika beliau
menyampaikan ucapan ini kepada para graduan. Graduan yang bakal memulakan kehidupan
baharu. Bertemu dengan cabaran baharu. Jobs cuba memberikan semangat kepada graduan
Universiti Stanford bahawa tugas mereka untuk merencana kehidupan sehabis baik demi masa
depan generasi akan datang.
Akhir sekali, Jobs meninggalkan pesan kepada para graduan bahawa kehidupan itu
singkat. Jangan membazir untuk menjadi orang lain, terperangkap di dalam dogma yang mana
hidup dengan gagasan yang dicipta oleh orang lain. Malah Jobs menyarankan agar kita
menurut gerak hati kita. Intuisi itu akan menjadi agen kepada perubahan yang bakal kita
lakukan. Apa yang cuba disampaikan Jobs adalah, dengan kehidupan yang singkat, kita harus
mengisi kehidupan ini sebaik mungkin. Sebaik mungkin itu adalah hidup tanpa perlu
bergantung kepada apa yang orang lain percaya tetapi yakin dengan gerak hati kita, apa yang
kita mahukan dalam hidup dan apa yang telah kita tetapkan tujuan hidup kita sebagai khalifah
di dunia ini.
4.0 RUMUSAN
Steve Jobs telah meninggal dunia dan memberikan kesan yang sangat mendalam kepada
orang Amerika dan dunia kerana kepandaiannya. Adalah menjadi satu keuntungan yang luar
biasa bagi sesiapa yang bekerja dengan beliau. Gagasan dan falsafah yang dipegang oleh
Steve Jobs boleh menjadi satu gagasan dan falsafah bagi orang lain. Nilai dan kepercayaan
positif yang ditanamkan di dalam minda yang menjadi faktor beliau berjaya melakukan apa
saja yang beliau ingin lakukan. Steve Jobs merupakan tokoh terpenting dalam perkembangan
teknologi. Ciptaan beliau yang terkenal dengan jenama Apple menjadi perkembangan kepada
dunia masa kini dan membawa kepada perubahan dunia. Beliau merupakan orang yang hebat
dan di antara inovator Amerika. Beliau cukup berani untuk berfikir dengan cara yang berbeza
dan juga percaya bahawa dirinya boleh mengubah dunia.
No comments:
Post a Comment